MCB atau Malaysian Community of Bristol ditubuhkan pada Disember 2006 bagi menggantikan Keluarga Bristol yang sebelumnya hanya mengumpulkan beberapa keluarga Malaysia yang berada di Bristol.
Penubuhan MCB bertujuan bagi mengumpulkan para pelajar pasca ijazah (post graduate) dan golongan yang berkerja dan menetap di Bristol. Terdapat sekumpulan warga Malaysia pada ketika itu yang merasakan perlunya diwujudkan satu komuniti bagi golongan ini memandangkan para pelajar pra ijazah (undergraduate) telah pun mempunya persatuan yang dikenali sebagai Malaysian Cultural Society (MCS). Dengan matlamat untuk menyatukan semua warga Malaysia di Bristol, menyemai semangat kekitaan dan saling membantu dengan lebih tersusun dan efektif, maka tertubuhlah MCB.
Dengan hanya keanggotaan sekitar 10 keluarga pada 2006, kumpulan ini bergerak selangkah demi selangkah sehinggalah mempunyai lebih dari 80 ahli beserta keluarga masing-masing. Berbekalkan semangat setiakawan yang tinggi, pelbagai aktiviti telah diadakan yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan ahli. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah membantu menguruskan ketibaan ahli baru, membantu ahli menyesuaikan diri di perantauan, menguruskan kepulangan ahli ke Malaysia dan pelbagai aktiviti yang dapat memupuk semagat kekitaan untuk pelbagai peringkat umur.
Program-progam ini bukan sahaja membantu memudahkan urusan kehidupan di perantauan, ia juga dapat mengurangkan tekanan kehidupan yang berbeza jauh dari saudara mara dan rakan taulan. Pelbagai program yang biasanya di sambut dan dijalankan di Malaysia juga di jalankan di sini seperti sambutan perayaan, sambutan dan majlis keagamaan dan aktiviti sukan yang biasa dipopularkan di tanah air Malaysia.