Malaysian Community of Bristol (MCB)

MCB mengucapkan Salam Ramadhan kepada semua warga MCB dan juga seluruh umat islam di mana jua berada...

Iftar Ramadhan 09

25 Aug 09 - Seperti tahun-tahun yang lepas, kedatangan ramadhan juga disambut meriah warga MCB. Setiap sabtu, program Iftar Ramadhan diadakan bagi mengumpul semua warga MCB di sekitar Bristol.

Program diisi dengan majlis berbuka puasa, solat magrib berjemaah, tadarus al-quran, solat isya' dan tarawikh berjemaah. Seperti biasa juga, jamuan diadakan berkonsepkan pot-luck dengan setiap ahli memberi sumbangan pelbagai juadah makanan.

 Program ini juga dijadikan sebagai tempat bekumpul warga MCB bertemu, beramah mesra disamping mendapatkan perkembangan terbaru serta aktiviti MCB. Kutipan derma juga diadakan sebagai sumbangan kepada organisasi muslim di Bristol.

Program Ihya' Ramadhan Nusantara

18 Julai 09 - MCB dengan kerjasama Warga Muslim Indonesia Bristol telah bergabung tenaga melaksanakan program sambutan kedatangan bulan ramadhan. Program ini merupakan program perintis kerjasama Malaysia - Indonesia di Bristol.

Program yang diadakan di Masjid Bradley Stoke, Bristol ini diisi dengan ceramah sambutan ramadhan oleh Ust Dr. Afifi yang didatangkan khas dari Oxford University. Beliau merupakan warga melayu pertama yang dilantik sebagai felo di Oxford. Ceramah disampaikan oleh ustaz di dalam bahasa inggeris bagi memudahkan pemahaman semua pihak termasuk beberapa tetamu bukan Malaysia/Indonesia.

Program juga isi dengan jamuan yang disediakan secara bersama dan diakhiri dengan sesi bergambar kenangan. Kedua-dua pihak berharap dan telah merancang agar lebih banyak lagi program dapat dianjurkan secara bersama, Malaysia - Indonesia.

AGM Kali Ke-3

23 Mei 09 - Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke-3 telah sempurna diadakan di Redcatch Community Centre. Mesyuarat kali ini dihadiri lebih dari separuh ahli MCB dengan sebahagian ahli tidak dapat menghadiri di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

AGM pada kali ini membuat sedikit pembaharuan dalam kaedah pemilihan AJK sesi 09/10 dengan memanfaatkan teknologi ICT. Pengundian pada kali ini dijalankan secara online, diadakan selama 3 hari berturut-turut memberikan peluang kepada semua ahli untuk mencalon dan mengundi calon pilihan mereka pada waktu pilihan mereka sendiri sebelum tiba hari mesyuarat. Kaedah ini juga terbukti dapat menjimatkan masa perjalanan mesyuarat agong. Ia juga membolehkan lebih banyak masa diperuntukkan bagi sesi perbahasan usul dan cadangan bagi menguatkan lagi organisasi MCB.

 Agenda mesyuarat pada kali ini dimulakan dengan solat Zohor secara berjamaah diikuti jamuan tengahari hasil sumbangan dermawan MCB dan seterusnya mesyuarat agong dijalankan.

Berikut adalah Jawatankuasa Sesi 09/10:

  •  Pengerusi: Sdr. Sabri
  • Setiausaha: Sdr. Mohd Zamri
  • Bendahari : Sdr. Zaid
  • AJK :
    • Sdr. Solvee
    • Sdr. Azwani
    • Sdr.Taufik
    • Sdr. Riezal
    • Sdri. Siti Sofo

Ucapan terima kasih diucapkan kepada Ahli Jawatankuasa Sesi 08/09 yang telah banyak merancang dan melaksanakan pelbagai aktivit yang juga mendapat sambutan dan penyertaan cemerlang para ahli MCB. Tahniah juga diucapkan kepada Ahli Jawatankuasa 09/10 di atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli untuk terus memimpin dan memacu MCB membawa kesempurnaan kepada semua ahli.

*Galeri gambar akan menyusul kemudian.

Spring Camp 09

5 Apr 09 - Satu program perkhemahan untuk anak-anak warga MCB telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Program yang merupakan inisiatif adik-adik undergraduate telah berjaya mengumpulkan hampir semua anak-anak warga MCB yang berumur antara 8 - 15 tahun. Program telah di adakan di sebuah kem perkhemaha di sekitar Cheddar pada 4 dan 5 April.

Program julung kali yang bertujuan meningkatkan jati diri anak-anak, membawa mereka keluar dari keselesaan bersama keluarga tersayang dan bermalam di dalam khemah dalam suasana amat sejuk mendapat respon yang amat positif dari para peserta. Program yang merangkumi aktiviti rohani, fizikal dan kerjasama kumpulan mendapat bimbingan fasilitator yang terdiri dari adik-adik undergraduate di sekitar UK.

Program ini juga mendapat respon positif dari kalangan ibu bapa yang mengharapkan program sebegini dapat diteruskan di masa akan datang.

Lawatan ke Louborough

21 Mac 09 - Sempena menyahut jemputan warga Malaysia di Louborough, seramai empat keluarga warga Bristol telah mengadakan lawatan 2 hari ke Louborough. Lawatan ini merupakan kerjasama julung kali antara MCB dan juga komuniti Malaysia di Louborough. Lawatan yang berkonsepkan keluarga angkat ini diserikan dengan pertandingan Netball bagi kaum wanita dan pertandingan badminton tiga penjuru antara Bristol-Louborough-Nottingham. Pada keesokan harinya pula warga Bristol dibawa melawat car boot sale di kawasan berhampiran.

Lawatan ini telah membuka lembaran baru kepada program MCB yang menggambarkan lebih banyak program seumpama boleh dirancang bersama komuniti-komuniti yang berdekatan dengan Bristol seperti Cardiff, Southampton, Porthmouth dan sebagainya. 

Majlis Sambutan Maulidurrasul 09

15 Mac 09 - Sempena kedatangan bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, warga MCB juga tidak ketinggalan menganjurkan Majlis Sambutan Maulidurrasul. Majlis yang agak meriah, dihadiri hampir semua warga MCB telah diadakan di rumah sementara En.Zahar dan Pn.Sakina.

Majlis yang dilaksanakan dengan dengan bacaan Yasin dan selawat  turut diserikan dengan persemhan nasyid dari anak-anak MCB. Majlis pada kali ini juga menampilkan menu istimewa dari warga MCB, Kari Kepala Ikan Salmon di samping pelbagai juadah istimewa sumbangan 'potluck' dari semua warga MCB.

Ahli Baru MCB Jan 09

04 Jan 09 - Sempena Maal Hijrah 1430 dan tahun baru 2009, warga MCB menerima dua lagi ahli baru.

Pada 02 Jan MCB menyambut kedatangan Sdri Siti Sofo Ismail. Setelah menjemput beliau di lapangan terbang Bristol, beliau terus dihantar ke rumah kediaman universiti dan menumpang sementara di rumah warga 'single postgraduate' sementara menunggu kediaman beliau sedia dimasuki pada 12 Jan.

Pada 04 Jan pula MCB menyambut kedatangan keluarga Pn.Wan Raisuha Wan Ali (Education) bersama suami beliau Muhammad Sabri Mohd Saman dan anak-anak (Aida Syahirah, Anis Sabrina, Arina Sofia). Sedikit majlis ramah mesra/reception juga diadakan di rumah mereka sempena menyambut mereka atas sumbangan pot-luck ahli MCB.

Mereka agak bertuah kerana rumah mereka sedia dimasuki setiba di Bristol. Mereka mengambil alih rumah ahli kita yang berpindah ke pusat bandar, Pn. Rozida Khalid. Kepada warga MCB yang inigin menziarahi ahli baru ini boleh la datang ke rumah mereka beralamat di 36, Langhill Avenue, BS4 Bristol.

MCB mengucapkan selamat datang ke Bristol kepada kedua-dua ahli baru dan keluarga mereka, dan semoga berjaya dalam bidang pengajian masing-masing.

Pindah Rumah

01 Jan 09 - Salah seorang warga Knowle, Sdr. Rosdiadee(Adee) dan Pn. Norfadhlina(Lin) telah berpindah ke kediaman baru mereka di pusat bandar yang juga merupakan penginapan universiti. 

Warga MCB telah berkumpul beramai-ramai menghulurkan bantuan untuk memindahkan barang ke rumah baru mereka. Aktiviti sebegini merupakan antara sebahagian daripada aktiviti rutin warga MCB.

Untuk makluman alamat baru mereka adalah:

Flat 2, 79 Woodland Rd, Bristol, BS8 1US.

Marilah kita sama-sama mengeratkan silaturrahim dengan menziarahi rakan kita yang berpindah ke rumah baru mereka.

Majlis Sambutan Eidul Adha dan Qurban

13 Dis 08 - Bertempat di dewan Fillwood Community Centre, majlis sambutan Eidul Adha dan ibadah qurban berjalan dengan agak meriah. Majlis pada kali ini dilaksanakan dengan kerjasama MCB dan MCS (yang dianggotai oleh adik-adik di peringkat Ijazah).

Majlis yang dimulakan dengan sedikit sesi berkenalan dan penerangan oleh MCB dan MCS mendapat sedikit pembaharuan dengan sesi ceramah. Ceramah yang berkisar tentang pengorbanan dan realiti kehidupan di perantaun disampaikan oleh penceramah jemputan dari Cardiff. Dalam masa lebih kurang satu jam, penceramah banyak mengupas tentang keperluan dan kepentingan meneruskan amal ibadat walaupun berada di perantauan.

Majlis kali ini juga meraikan rakan ahli yang melaksanakan ibadah Qurban. Daging qurban yang dimasak secara 'rewang' oleh kaum lelaki dengan menu Kari Kambing Mamak Penang merupakan hidangan utama untuk para tetamu. Disamping itu juga terdapat pelbagai juadah sampinga sumbangan semua ahli seperti kuih muih dan pencuci mulut.

Bagi memeriahkan lagi sambutan, sedikit jualan cenderamata dan buku agama juga diadakan.

 Sila klik di sini untuk koleksi gambar majis berkenaan. 

Merewang Kari Kambing Mamak Penang

12 Dis 08 - Buat pertama kali dalam sejarah MCB, kaum lelaki mengadakan majlis rewang untuk memasak daging qurban. Aktiviti yang bertempat di rumah En. Faez dan Pn. Mahani mendapat sambutan yang agak hangat. Kaum lelaki berkumpul seawal jam 5.00 petang bagi menjalankan kerja-kerja persiapan menu utama yang terdiri dari Kari Kambing Mamak Penang (diketuai oleh Chef Mamu Asri), ayam goreng, acar mentah, sambal belacan Perlis dan nasi putih.

Walaupun ini merupakan kali pertama kaum lelaki/bapa memasak menu jamuan, nampaknya ramai yang berbakat dalam bidang masakan jamuan. Persiapan yang lengkap membantu aktiviti memasak berjalan dengan lancar walaupun terpaksa berjaga sehingga jam 2.00 pagi di musim sejuk dengan suhu di bawah 7 darjah celcius.

MCB mengucapkan tahniah kepada kaum lelaki/bapa di atas usaha murni ini walaupun ditimpa sedikit musibah di mana kereta Sdr. Zaid rosak di tengah jalan (dan terpaksa ditinggalkan di tepi jalan overnight) dalam perjalanan pulang dari Asda pada jam 1.30 pagi untuk membeli nenas.

Syabas dan teruskan usaha murni anda semua.

 Sila klik di sini untuk koleksi aktiviti merewang.

Eidul Adha 2008

08 Dis 08 - Memandangkan Eidul Adha jatuh pada hari bekerja dan sekolah, warga Bristol menyambutnya secara sederhana sahaja. Atas kerjasama warga MCB, dapat juga diadakan solat sunat Eidul Adha secara berjemaah walaupun secara kecil-kecilan. Solat sunat yang diadakan di dalam dewan Knowle Community Centre ini dihadiri kebanyakannya oleh warga sekitar dan sebahagian warga city centre.

Selesai solat, para jemaah dapat juga menjamah sedikit juadah yang dibawa secara potluck.

Majlis Sambutan Aidilfitri 2008

04 Okt 08 - Majlis sambutan Aidilfitri warga Malaysia di Bristol telah berlangsung dengan meriah. Majlis yang merupakan acara tahunan kali ini di adakan di dewan serbaguna Redcatch, Knowle, Bristol. Sambutan pada tahun ini amat memberangsankan dengan hampir keseluruhan warga Malaysia di Bristol tanpa mengira agama dan bangsa memenuhi ruang dewan dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang.

Majlis pada pagi tersebut dimulakan dengan laungan takbir beramai-ramai sebagai simbolik sambutan Aidilfitri, diikuti ucapan ringkas Presiden MCB mengalu-alukan kedatangan warga MCB dan seluruh tetamu undangan. Majlis juga turut diserikan dengan sedikit persembahan dari adik-adik kecil keluarga Bristol.

Walaupun jauh di perantauan, berkonsepkan 'pot luck' juadah yang dibawa tidak kurang hebatnya malah mungkin dapat dibandingkan dengan sambutan di tanah air. Dengan menu utama nasi beriyani ayam, menu wajib Malaysia Satay, lemang, ketupat, popia dan bermacam-macam lagi juadah dihidangkan sungguh menyelerakan.

"Saya sungguh tak menyangka sambutan Aidilfitri di sini juga meriah seperti di tanah air. Alhamdulillah, tak lah terasa rindu sangat kampung halaman terutama orang macam kami yang baru sampai dan kali pertama menyambut Aidilfitri di perantaun", komen Saudara Taufik yang baru kali pertama menyambut Aidilfitri di Bristol. Perasaan ini turut dikongsi bersama rakan-rakan yang buat kali pertama menyambut Aidilfitri di perantaun.

 Sila klik di sini untuk koleksi gambar majlis bekenaan.

Iftar Ramadhan 08

       06 Sept 08 - Ramadhan kareem. Ramadhan tiba lagi, dalam suasana perantauan warga MCB menunaikan rukun islam ke-3. Seperti kebiasaan, menjelang ramadhan pihak MCB akan menganjurkan program Iftar Ramadhan bersama-sama dengan warga MCB di Bristol. Program diadakan setiap minggu pada hari Sabtu bertempat di dewan Redcath, Knowle Park. Program bermula dari pukul tujuh malam hingga ke jam 10.30 malam.

Seperti biasa, agenda kali ini temasuklah:

  •  Berbuka puasa
  • Solat maghrib berjemaah
  • Tazkirah Ramadhan
  • Solat Isya' dan Tarawikh berjemaah

Seperti kebiasaannya juga, jamuan makanan di sediakan secara pot-luck oleh warga MCB. Program seperti ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan sesama warga MCB disamping sedikit pengisian rohani di bulan yang penuh barakah ini.

Pihak MCB juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak. Di harapa ramadhan tahun ini lebih baik dari yang lepas walaupun kita menyambutnya jauh di perantaun tidak seperti suasana islam di Malaysia.

 Sila klik di sini untuk koleksi gambar majlis tersebut.

Selamat jalan En. Muzammil & Pn. Anita

30 Aug 08 - Warga MCB bakal kekurangan seorang lagi ahlinya. En. Muzammil dan keluarga akan kembali ke Malaysia setelah berjaya menamatkan pengajian beliau.

Warga MCB membantu memunggah barang ke dalam kontena sempena kepulangan mereka. Ini merupakan salah satu aktiviti rutin warga MCB apabila ada ahli yang akan pulang ke tanah air.

Selamat Jalan diucapkan kepada keluarga En.Muzammil, semoga kita bertemu lagi di tanah air.

Sila klik di sini untuk koleksi gambar

Family Day 08

        03 Aug 08 - MCB sekali lagi telah berjaya merancang dan merealisasikan program sambutan Hari Keluarga 08. Program ini juga merupakan gabungan program BBQ dan jamuan perpisahan beberapa warga MCB yang akan pulang ke tanah air.

Program kali ini yang berlangsung di Blaise Castle, Henbury telah berjaya mengumpul hampir semua warga MCB yang terdiri dari keluarga pelajar dan juga warga bekerja/menetap di Bristol. Keadaan cuaca yang agak baik walaupun hampir sepanjang minggu di basahi hujan membolehkan program dijalankan dengan lancar.

Pemilihan tempat yang mempunyai kawasan padang yang luas beserta pelbagai kemudahan termasuk permainan kanak-kanak membolehkan pelbagai acara berjaya dilaksanakan. Antara aktiviti yang disusun dalam program kali ini termasuklah BBQ, persembahan kanak-kanak, persembahan kaum bapa (perlawanan pertunjukan bola sepak) dan aktiviti bebas bagi kanak-kanak. Selain ucapan dari Presiden MCB, majlis juga memberi peluang berucap dan memperkenalkan ahli baru, saudara Solvi sekeluarga yang baru tiba dan juga sedikit ucapan perpisahan dari wakil ahli yang akan pulang ke tanah air, saudara Ridzuan dan saudara Muzammil.

Setinggi tahniah kepada kepada mereka yang merancang dan melaksanakan program ini dan juga kepada semua warga MCB yang hadir merealisasikan progam kali ini. 

Sila klik di sini untuk sebahagian koleksi gambar majlis berkenaan. 

Fund Raising 08

    27 Julai 08 - MCB telah menyertai satu 'Fund Raising' aktiviti yang di adakan dengan kerjasama warga muslim Bristol bertempat di City Academy, Bristol pada jam 12.00 - 2.00 petang. Cuaca yang cerah dan panas banyak membantu kelancaran program kali ini. Hasil keuntungan dari program ini akan disalurkan kepada mangsa gempa bumi China dan sebahagian lagi kepada tabung MCB.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah jualan makanan/minuman dan permainan untuk kanak-kanak. Pihak MCB dengan kerjasama ahli-ahlinya berjaya menyediakan pelbagai juadah tempatan termasuk satay, nasi tomato, Chow Mean Noodle, nasi ayam, kek coklat, karipap, sago dan beberapa lagi juadah. Meja MCB mendapat sambutan hangat dengan hampir semua juadah habis dijual, terutamanya satay yang menjadi 'hot item' pada kali ini.

Pihak MCB mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli yang mana majoriti terlibat secara langsung bagi penyediaan makanan serta pengurusan jualan. Aktiviti-aktiviti seperti ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang dan pihak pengurusan MCB terus mengharapkan sokongan dan dokongan semua ahli. 

Sila klik di sini untuk galeri gambar 

Majlis Perpisahan Jun 08

    19 Jun 08 - Satu majlis perpisahan meraikan kepulangan dan perpindahan warga MCB ke Malaysia telah diadakan. Antara mereka yang diraikan adalah keluarga Pn. Zabidah yang akan pulang ke Malaysia setelah menamatkan pengajian beliau dan juga keluarga En.Phill/Pn. Zu yang akan bertukar ke Malaysia.

Majlis ringkas ini telah diadakan di rumah Presiden MCB, En. Zul dengan jamuan berkongsepkan  'pot luck'. Majlis dimulakan dengan ucapan penghargaan dan tahniah dari Presiden MCB, diikuti dengan ucapan ringkas mereka yang dirai dan diakhiri dengan jamuan ringan. Majlis ini merupakan majlis perpisahan pertama bagi sesi 2008.

Sila klik di sini untuk koleksi gambar majlis berkenaan. 

Mesyuarat Agong Tahunan Ke-2

       27 April 08 - Bertempat di Saint Paul Adventure Park, MCB telah menyempurnakan Mesyuarat Agong Tahunan Kali ke-2. Mesyuarat Agong kali ini telah berjaya mengumpul hampir semua warga MCB. Tetamu jemputan kali ini ialah Ust. Erfino Johari dari Malaysian Student Department (MSD), London.

Mesyuarat di pengerusikan oleh En.Phill dan antara agenda yang telah disempurnakan termasuklah pembentangan aktiviti oleh setiausaha, pembentangan kewangan oleh bendahari dan yang paling utama ialah perlantikan ahli jawatankuasa baru bagi sesi 08/09. Setelah undian selesai dijalankan, En. Zul telah dipilih sebagai Presiden bagi sesi 08/09. Ahli jawatankuasa beliau pula terdiri dari En. Zamri, En. Asri, En. Adee, En. Azwani, En. Nazrul, Pn. Izdihar dan Pn. Myra.

Warga MCB juga mendapat sedikit pesanan dan sokongan moral dari sedikit ucapan dari Ust. Erfino. Majlis akhirnya di sudahi dengan sesi soal jawab dan jamuan makan.

sila klik di sini untuk koleksi gambar majlis tersebut.

Majlis Kesyukuran dan Aqiqah

        20 April 08 - Satu majlis doa selamat dan Aqiqah telah diadakan bertempat di dewan orang ramai Redcacth Park, Knowle. Ia merupakan satu majlis gabungan beberapa warga MCB, Sdr. Zuli dengan Aqiqah anak kembarnya, Sdr. Adee, Hairul dan Yaakop dengan majlis kesyukuran. Majlis dimulai dengan sembahyang hajat, diikuti dengan bacaan Yaasin dan doa selamat. Kambing aqiqah telah dimasak secara gotong royong dan ditambah dengan lain-lain makanan sumbangan peserta program dan juga warga MCB yang lain.

Majlis berlangsung meriah dengan dihadiri hampir semua warga MCB. Ini merupakan sebahagian program kesyukuran yang sering diadakan oleh warga MCB. Kebanyakan dari program seumpama ini biasanya dijalankan dirumah masing-masing, namun ada kalanya dewan menjadi pilihan dengan tetamu yang lebih besar. 

Sila klik di sini untuk ke geleri gambar 

Dekan Fakulti Pendidikan UTM di Bristol

    14 Mac 08 - Warga UTM di Bristol menerima kunjungan Dekan Fakulti Pendidikan mereka sempena lawatan beliau ke UK. Sdr. Asri, salah seorang warga MCB telah bermurah hati untuk menjadi host bagi perjumpaan ini.

Perjumpaan ini merupakan salah satu siri kunjungan UTM ke atas kakitangannya yang melanjutkan pelajaran di UK. Dalam perjumpaan ini, Prof Dekan menyampaikan amanat UTM di samping bertukar-tukar pandangan dengan para peserta. Sesi soal jawab juga tidak ketinggalan bagi pertimbangan pihak pentadbiran UTM.

Kunjungan UTM ini merupakan kunjungan pertama pentadbiran universiti dari Malaysia ke atas kakitangan mereka. Kunjungan seperti ini amat dialu-alukan oleh warga MCB terutama bagi mereka yang melanjutkan pengajian kerana melalui program seperti ini pihak pentadbiran universiti dapat melihat sendiri kehidupan kakitangan mereka di Bristol di samping bertukar pandangan dalam soal pengajian, kajian mahupun kehidupan di Bristol. 

Sila klik di sini untuk koleksi gambar perjumpaan berkenaan. 

Menteri Pengajian Tinggi di Bristol

    Pada 31/12/07 warga Malaysia di Bristol telah berkesempatan beramah mesra bersama menteri Pengajian Tinggi, YB Dato' Mustapa Mohamed. Dato' Mustapa meluangkan masa hampir dua jam beramah mesra, mendapatkan sedikit gambaran kehidupan warga Malaysia di Bristol. Dalam sesi tersebut juga beberapa pendapat dan permintaan dari pelajar Malaysia diutarakan untuk perhatian pihak kerajaan. Di samping itu juga, YB Dato' menyampaikan sedikit pesanan dan dorongan kepada semua pelajar.

Sesi ini merupakan satu sesi tidak rasmi YB Dato' yang kebetulan singgah di Bristol. Ianya diadakan di rumah En.Zulkifli, Setiuasaha MCB dan dihadiri oleh hampir semua para pelajar Malaysia di Bristol yang menuntut di University of Bristol, UWE dan University of Bath. Sedikit jamuan juga diadakan dengan sumbangan para pelajar. 

Sila klik di sini untuk koleksi gambar majlis berkenaan